Wednesday, July 21, 2010

kad kredit adalah kad nafsu

Jika sebelum ini saya telah pernah menulis berkenaan kredit kad dan beberapa persoalan berkaitan hukum Fiqh. Tulisan saya kali ini ingin cuba mendedahkan ulasan kredit kad jika dilihat dari sudut kira-kira untung dan rugi, atau dalam kata lainnya, dari sudut kewangan (monetary).





KONSEP KAD KREDIT

Tanpa perlu mengulas panjang lebar dan begitu ilmiah, saya akan mengulas berkaitan kad kredit semudah yang mungkin bagi tatapan orang kebiasaan.

Jika dilihat definisi kad kredit, kita akan memahami ia adalah sekeping kad plastik yang diberikan oleh pengeluarnya sama ada bank atau Institusi Kewangan setelah diyakini pemohon mempunyai kemampuan untuk membayar hutang-hutang yang bakal dibuat melalui penggunaan kad tersebut. Melalui kad tersebut, pemilik kad boleh berbelanja sehingga tahap kredit bulanan (monthly credit limit) yang dibenarkan.

Hubungan di antara pengguna dan pengeluar kad adalah hutang. Pihak pengeluar akan membayar jumlah pembelian yang dibuat kepada penjual (peniaga). Kemudian, sebagai balasan, pihak peniaga perlu membayar kepada pengeluar kad sebanyak 1 hingga 3 % dari jumlah barang yang dibeli sebagai komisyen, manakala pengguna pula perlu membayar semula hutang tadi beserta caj riba yang mahal, iaitu 17.5 % setiap tahun.

"Kredit kad adalah sama seperti Ah Long (Loan Shark)" Itu lah yang dikatakan oleh Dr. Elizabeth Warren, Professor Undang-undang yang pakar di dalam bidang kewangan di Havard University, USA.

Bezanya, ia diatur secara lebih tersusun dan professional, tidak seperti Ah Long yang beroperasi secara gelap dan berbau jenayah. Namun hakikatnya, kedua-dauanya adalah sama dari sudut caj dan kezalimannya.

KAD KREDIT ADALAH KAD NAFSU

Dari sudut objektif, kad ini boleh dikatakan amat tidak menepati kehendak Islam kerana :-

1) Menggalakkan Leverage Melampau (menggandakan kemampuan pembelian melalui hutang)

Kewujudan kad kredit hanya menggalakkan pengguna untuk berbelanja melebihi kemampuan kewangan bulanannya. Manakan tidak, saya masih ingat seorang rakan saya yang berpendapatan sekadar RM 4,000 sebulan, dengan tanggungan rumah, keluarga dan kereta setiap bulan, masih diluluskan oleh bank untuk menerima kad kredit dengan had penggunaan (credit limit) sebanyak RM 8,000 sebulan. Sebagaimana disebutkan oleh Professor Elizabeth juga, pengeluar kad juga biasanya mensasarkan golongan pertengahan (middle class) yang berpotensi besar untuk menangguh bayaran serta tidak berkemampuan membayar penuh setiap bulan.

Hari ini, individu yang berpendapatan RM 2,500 sudah layak memilik sekeping kad kredit. Kredit limitnya sudah pasti melebih jumlah pemdapatan bulanannya. Belum lagi ditolak lain-lain beban kewangan bulanannya.

Kad ini juga boleh dianggap sebagai sekeping kad plastik ‘untuk melayan nafsu berbelanja secara tidak terkawal.', Ini kerana ia tentunya merangsang nafsu berbelanja ramai pemiliknya, pada awalnya mungkin mereka mampu mengawal perbelanjaan namun lama-kelamaan mereka tewas dalam mengawal nafsu membeli belah dan menangguh bayaran.

Kad kredit ini tidak ubah seumpama sebuah perangkap dan jerangkap samar yang hanya menunggu sedikit kelalaian pengguna, tatkala itu kesakitan yang akan ditinggalkannya adalah pedih dan amat sukar diubati.

2) Kad yang sengaja menggalakan pemilik melewatkan bayaran ;

Kad ini juga sememangnya direka cipta untuk memerangkap pengguna. Saya mengatakan demikian kerana, kerangka asas kad ini adalah pengguna HANYA diminta untuk membuat bayaran bulanan hanya 3-5 % dari jumlah penggunaan bulannnya. Jika semua jumlah yang digunakan dilangsaikan sebelum tempoh ‘grace period' (biasanya 20 hari), pengguna tidak akan dikenakan sebarang caj. Sebarang tangguhan bayaran melebihi 20 hari, caj interest RIBA yang tinggi akan dikenakan.

Di Malaysia cajnya hasil peraturan yang dikenakan oleh bank Negara Malaysia, caj interest kad kredit di Negara ini seperti berikut :-




No. of prompt payment in the past 12 months
Interest Rate
Tier 1
12 consecutive months
13.5%
Tier 2
at least 10
16%
Tier 3
Others
17.5%


Keterangannya

Tier-1 : Caj tahunan yang dikenakan bagi pemegang kad yang secara konsisten melangsaikan bayaran minimum secara berturut-turut selama 12 bulan yang sebelumnya dalam tempoh dibenarkan.

Tier-2 : Caj interest tahunan yang dikenakan bagi pemegang kad yang melangsaikan bayaran minimum selama 10 bulan dalam setahun,

Tier-3 : Caj yang dikenakan bagi semua pemeganga yang tidak menepati dua ciri di atas.

Boleh difahami dari jadual di atas, bagi mereka yang gagal melangsaikan bayaran minimum secara konsisten akan menderita dengan kadar riba yang lebih tinggi berbanding mereka yang konsisten membayar. Pun begitu, kadar caj interest terendah bagi bank-bank pengeluar kad di Malaysia adalah 13.5 % dan tertinggi adalah 17.5 %. Itu adalah setelah peraturan baru yang dikeluarkan oleh bank Negara Malaysia. Perlu disedari caj tersebut amat lah tinggi dan tersangat merugikan.

Pembaca boleh melihat sendiri bagaimana caj yang dikenakan oleh HSBC bank di link INI.

Manakala Standard Chartered Bank seperti berikut PULA

Perlu difahami, jumlah yang dituntut bayar setiap bulan oleh pihak bank biasanya hanya 5 peratus dari jumlah penggunaan bulanan, manakala jumlah interest sebanyak 1.46 peratus setiap bulan (atau 17.5 % tahunan) itu akan dikenakan kepada semua pokok hutang atau jumlah tertunggak.

Sekarang cuba bayangkan, ruginya mereka yang membeli belah dengan menggunakan kad kredit dan kemudian membiarkan caj berbelas peratus itu dikenakan ke atas mereka. Jika pengguna faham dan sedar, bermakna setiap pembelian pengguna akan berkali ganda mahalnya berbanding pembayaran yang dibuat secara tunai atau menggunakan debit kad.


CONTOH KIRAAN MUDAH

Sekali lagi, ini bermakna, pembeli yang membeli menggunakan kad kredit membayar secara purata lebih dari 17.5 % tahunan (iaitu sama dengan 1.46 peratus bulanan) berbanding pembeli secara tunai.

Sebagai contoh kiraan mudah faham, katalah Ah Chong berbelanja menggunakan kad kredit sebanyak RM 10,000 (nilai pokok pinjaman) pada bulan Januari, dia perlu membayar semula jumlah tersebut ditambah 1.46 peratus setiap bulan iaitu RM 146. Memang benar, ia kelihatan kecil, tetapi cuba fahamkan bahawa jumlah tersebut bersifat compounding atau akan masuk di dalam jumlah pokok.

Katalah Ah Chong tidak membayar jumlah minima wajib 5 % setiap bulan. Maka akibatnya pada bulan Januari, jumlah pokok yang perlu dibayar meningkat kepada RM 10,146.

Pada bulan Februari, jika jumlah tersebut dibiarkan, lagi 1.46 peratus dikenakan dari jumlah baki terkumpul yang baru iaitu 1.46 peratus x RM 10,146 = RM 148.13.

Pada bulan Mac, jumlah pokok terkumpul sudah berubah menjadi RM 10,146 + RM 148.13 = RM 10,294.13.

Begitulah kiraan dipermudah bagi caj interest bulanan sehinggalah semua jumlah tertunggak itu diselesaikan. Akibat dari cara kiraan sebegini sekitar 30 peratus pemilik kad kredit jatuh muflis, kebanyakkannya dari kalangan eksekutif muda yang tidak dapat mengawal runtunan nafsu berbelanja dan kurang displin dalam membayar hutang.

Menurut statistik yang diperolehi oleh BNM, jumlah hutang kad kredit ini bertambah 20 peratus pada setiap tahun. Dengan kadar faedah 1.5 peratus sebulan. Bank-bank Malaysia dengan mudah mendapat keuntungan faedah berjumlah RM159 juta setiap tahun tidak termasuk caj-caj untuk perkhidmatan lain seperti caj pengeluaran tunai (5%) dan caj lambat bayar (RM5). Mujurlah di Malaysia, BNM menghadkan caj interset maksimum kepada 17.5 % setahun sahaja, bayangkan di Negara lain seperti Amerika, caj tersebut boleh meningkat kepada 40 %, malah pihak bank di sana sentiasa mendesak kerajaan agar meniadakan kadar maksimum interest bagi kad kredit.

Bayangkah betapa ruginya menggunakan kad kredit dari sudut kiraan duit, lebih mendukacitakan, mereka juga dikira terjebak dengan dosa riba yang maha besar setiap kali penggunaannya. Sudahlah rugi dari perspektif kewangan, rugi juga dari sudut spiritual.

Kerana itu, saya tidak sama sekali menggunakan kad kredit. Sehingga hari ini, saya tidak memilik satu pun kad kredit walaupun ia kad kredit yang diolah secara Islam. Cukuplah memadai dengan kad caj Islam dan kad debit Islam saya gunakan bagi segala macam urusan.



TIADA LAGI 20 HARI GRACE PERIOD TANPA RIBA

Kalau dahulu, pihak pengeluar kad memberikan tempoh 20 hari setiap bulan sebagai tempoh NO CAJ NO INTEREST jika dibayar jumlah minimum 5 peratus. Namun bermula hujung tahun 2008, Bank Negara Malaysia telah memansukhkan undang-undag terbabit bagi merendahkan kadar interest yang lain. Justeru kini, hanya mereka yang membuat full repayment sebelum tamat tempoh 20 hari itu sahaja yang terkecuali dari caj interest dalam jadual di atas. Yang lain tidak lagi terselamat sebagaimana dahulu. Baca di SINI



CAJ LAIN

Selain dari caj-caj utama yang disebutkan di atas, caj-caj lain juga adakalanya perlu disemak sebaiknya. antara caj-caj lain yang wujud adalah :-

Caj kelewatan pembayaran iaitu 1 % dari jumlah tertunggak atau maksmium RM 100.
Yuran tahunan, namun sebahgian pengeluar kad menyerap kos ini bagi menjadikan kad mereka lebih menarik.
Caj bagi pembelian antarabangsa samada jika pengguna membeli di luar Negara atau membeli barangan luar Negara melalui internet. HSBC dan Maybank mengenakan caj sebanyak 1.25 % dari nilai harga belian luar negara terbabit.
Caj 5 % apabila membuat belian terlebih dari had kredit yang dibenarkan. Di Amerika Syarikat, difahamkan ada pihak pengeluar sengaja merendahkan jumlah had kredit tanpa memaklumkan kepada pelanggan dengan niat sengaja memerangkap pelanggan dengan caj ini. Di Malaysia saya tidak pasti, namun ada baiknya pembaca menyemak sendiri dengan pengeluar kada masing-masing. Ia dipanggil overlimit fees. HSBC mengenakan kos caj sebanyak RM 25 sebulan.
Sebahagian pengeluar menegnakan cash advances fees. HSBC mengenakan caj sebanyak 5 % dari jumlah tunai yang dikeluarkan atau RM 5 minimum.
Selain cash advance fee, cash advances itu sendiri dikenakan caj yang tersendiri iaitu 18 % bagi HSBC.
KESIMPULAN

Deikian sifat sekeping kad kredit yang sering dibanggai oleh pemiliknya bagi menunjuk kemewahan diri namun hakikathya ia hanyalah sekeping kad hutang yang menunjukkan potensi diri pemiliknya untuk jatuh muflis, atau menunjukkan pemiliknya yang lebih suka membayar sesuatu dengan harga yang lebih mahal, suka berhutang, cenderung berbelanja melebihi pendapatan.

Itu lah juga kad kredit, sekeing kad yang disediakan untuk melayan kebuasan nafsu membeli dan berhutang manusia dan mengambil kesempatan atas kelemahan itu. Diberinya kemudahan membeli sehingga melebih kemampuan pendapatan, malangnya dikenakan caj yang tinggi, adakalanya kurang difahami cara kiraannya oleh pengguna itu sendiri, lalu bertambahlah malangnya.

Akhirnya, saya nasihatkan hentikanlah penggunaan kad kredit dan berpindahlah kepada kad caj Islam dan Debit kad Islam sahaja.

Hapuskanlah kad kredit anda, khususnya apabila ia sekeping kad kredit dari bank konvensional kerana ia adalah riba menurut fatwa Majlis Fiqh Antarabangsa. Walau hutang diselesaikan sepenuhnya dalam tempoh 20 hari yang diberi, riba tetap mengenai pengguna, ia adalah kerana setiap penggunaan menyebabkan peniaga perlu membayar komisyen 1-3 peratus kepada pengeluar kad. Hasilya, setiap penggunaan kad kredit konvensional dianggap bantuan dan sokongan secara langsung kepada industri kad nafsu berteraskan riba. Insafilah dan beringatlah sebelum terlambat. Moga kita diberikan kekuatan untuk bertindak dan memotong kad-kad kredit kita.

Sekian



Zaharuddin Abd Rahman

www.zaharuddin.net

21 Julai 2010



ORIGINAL ARTICLE : http://www.zaharuddin.net/content/view/943/72/

2 comments:

  1. entry yg bagus.br je kot bcadang nak apply kdt card..just nk shopping on9

    ReplyDelete
  2. Salam Zaa..

    terima kasih untuk perkongsian ini. :)

    ReplyDelete